Mulut Busuk
Ustaz: Lain macam saja awak hari ni, Mat. Saya perhatikan awak senyap saja sejak masuk pejabat pagi tadi. Tidak seperti biasa. awak ada masalah?
Mat: Malulah, Ustaz. Saya malu hendak bercakap apa-apa hari ini.
Ustaz: Jangan macam itu. Kalau ada apa-apa masalah, awak boleh ceritakan kepada saya. Manalah tahu, mungkin ada yang boleh saya bantu. Kalau tidak pun, sekurang-kurangnya saya boleh jadi tempat awak meluahkan apa yang terpendam di hati. Itu sahaja sudah boleh meringankan separuh bebanan hati dan fikiran awak.
Mat: Alah, Ustaz! Janganlah serius-serius sangat. Saya ini tidak ada masalah apa-apa pun. Cuma hari ini malu hendak bercakap sebab mulut saya berbau sangat. Pagi tadi saya tidak gosok gigi. Bila sudah masuk waktu Subuh, baru saya teringat belum gosok gigi lagi. Sejak dari kecil dahulu, arwah Atok ajar kami, selepas sahur kena cepat-cepat gosok gigi. Jangan sampai masuk subuh dan sudah mula puasa, baru hendak gosok. Tidak boleh, dia kata.
Ustaz: Kesiannya, Mat. Atok awak itu kalau masih hidup, agaknya berdekah-dekah dia ketawakan cucunya ini. Tidak ada mana-mana pendapat ulama pun yang kata semasa bepuasa tidak boleh langsung gosok gigi. Kalau ada pun, cuma khilaf di antara yang kata makruh dengan yang kata tidak makruh untuk menggosok gigi bila sudah masuk waktu Zohor. Itu sahaja.
Mat: Ya kah, Ustaz? Ok lah. Saya pergi gosok gigi sekarang juga. Nanti kita boleh sambung cerita panjang.
Ustaz: Tapi kan, Mat, saya tengok awak ini kalau tidak gosok gigi macam ada baiknya jugalah. Kurang hari ini awak mengata orang. Nasi-nasi tambah bila berborak pun dari Pagi tadi saya tidak dengar. Tidak macam selalu. Bukan begitu, Mat? Sempurna pahala puasa awak hari ini.
Mat: Ai, Ustaz! Tengah-tengah puasa pun sempat ‘laser’ orang?
Secubit Puasa Secukup Rasa
by Mohamed Fatris Bakaram
(page 56-57)